Bayi Masih Bertali Pusat Ditemui Di Lobi Hospital Taiping

Taiping - Seorang bayi perempuan dalam keadaan sempurna ditemui di atas bangku lobi Poliklinik, Hospital Taiping, di sini.

Dalam kejadian, kira-kira 9.30 malam tadi, bayi berkenaan dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun yang bekerja di hospital terbabit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, bayi berkenaan diletakkan di dalam sebuah beg berwarna biru muda.

Menurutnya, di dalam beg terbabit turut diletakkan lampin pakai buang jenama Mamy Poko, satu set pakaian bayi dan sehelai tuala.

"Bayi perempuan itu, dalam keadaan baik dan masih bertali pusat merah yang telah dipotong namun belum diikat," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Harrith Kam berkata, bayi itu kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk penjagaan.

"Oleh itu, kita minta kepada orang awam atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang ibu dan keluarga bayi berkenaan supaya dapat menghubungi pegawai penyiasat atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form