Kepala Bayi Tanpa Anggota Badan Dijumpai di Ranau

Ranau - Kelibat beberapa ekor anjing yang sedang bergaduh di hadapan sebuah rumah di Kampung Kimolohing pada pagi Ahad membawa kepada penemuan kepala bayi tanpa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Mohd Farhan Lee Abdullah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kepala bayi berkenaan dijumpai penduduk kampung dalam keadaan tidak sempurna dan berulat.

“Dalam kejadian kira-kira jam11.30 pagi itu, seorang penduduk kampung, lelaki warga tempatan yang juga pengadu sedang menjemur pakaian di hadapan rumahnya sebelum terlihat mertua, adik ipar dan jiran sedang memerhati sesuatu.

“Oleh kerana musykil dengan situasi berkenaan, pengadu terus bergegas ke arah mereka untuk mengatahui apa sebenarnya yang sedang berlaku.

“Sebelum itu, pengadu mendakwa telah melihat beberapa ekor anjing di hadapan rumahnya sedang bergaduh seperti berebut makanan.

“Bagaimanapun, menurut pengadu, dia hanya menyangkakan objek berkenaan adalah bangkai ayam kerana kelihatan seperti ketulan,” kata beliau.

Menurutnya lagi, pengadu yang membuat pemeriksaan terkejut apabila mendapati objek berkenaan ialah kepala seorang bayi tanpa anggota badan lalu bertindak menghubungi pihak polis.


“Hasil pemeriksaan awal pihak Hospital Ranau mendapati muka bayi berkenaan sukar dikenal pasti kerana hanya tinggal soket mata dan tulang hidung tanpa rahang.

“Kepala bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah warga tempatan berumur sekitar 20-an telah ditahan pihak polis di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Komolohing di sini kira-kira jam 3.30 petang pada keesokannya untuk membantu siasatan.

“Turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan juga berumur 20-an yang dipercayai suami kepada suspek dan kedua-duanya akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit supaya tampil atau menghubungi polis bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Previous Post Next Post

Contact Form