Remaja Kota Belud Juara Tarian Piala Dunia

Kota Kinabalu - Pelajar kelahiran Kota Belud, Matinin Sungkin, 17, mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat emas pertandingan Tarian Piala Dunia (DWC) yang berlangsung di Offenburg, Jerman, baru-baru ini.

Matinin yang menyertai kumpulan penari Persatuan Tobilung Sabah Bersatu (TOBISA) menang bagi kategori solo junior pada pertandingan yang diadakan dari 24 Jun hingga 1 Julai lalu itu.

Kejayaan beliau mendapat pujian Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyifatkannya sebagai satu kebanggaan untuk Kota Belud dan seluruh rakyat Malaysia.

"Lagi ikon Kota Belud berjaya harumkan nama Malaysia di pentas dunia," katanya dalam komen beliau yang dipaparkan di laman sosial Facebook miliknya.

Abdul Rahman dalam ucapan tahniah kepada Matinin, berkata pihaknya mengarahkan Pejabat Parlimen Kota Belud untuk membantu melahirkan lebih ramai Matinin.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada keluarga Matinin, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Suid Hanapi; Presiden TOBISA, Muji NC Ampau dan semua yang menyokong dan membantu Matinin.

Selain Matinin, TOBISA turut merangkul pingat emas bagi kategori Dance Impact dan dipilih penerima Anugerah Pilihan Pengerusi, selain pingat gangsa kategori solo kanak-kanak menerusi Farihin Abdullah, 11.

Previous Post Next Post

Contact Form