Lelaki gantung diri selepas bertengkar dengan isteri

DUNGUN: "Saya ingat dia main-main. Tak sangka perbalahan kecil boleh buat dia bertindak begitu," kata wanita berusia 31 tahun yang juga isteri seorang lelaki ditemui mati di kawasan hutan dekat Kampung Serdang, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditemui mati tergantung pada dahan pokok setinggi 10 meter pada jam 3.45 petang.

Wanita berkenaan mengaku berlaku pertengkaran mulut antaranya dan suami disebabkan masalah rumah tangga mereka, sebelum arwah bertindak keluar rumah pada 5.30 petang, 21 Jun lalu dengan memandu van miliknya.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 10 pagi semalam (26 Jun), dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan menemui van milik arwah suaminya di kawasan itu.

"Sebelum keluar rumah suami ada cakap, 'mu pergi ambil van di Kampung Serdang dan mu carilah mayat aku di kawasan itu'.

"Saya ingatkan dia bergurau apabila dia bercakap begitu sehinggalah saya terima panggilan telefon daripada rakan memberitahu melihat van terbabit," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya lagi, sejam selepas menerima panggilan telefon itu, dia ke kawasan kampung berkenaan namun tidak menemui arwah.

"Saya hanya menemui kad nikah kami dan kad pengenalan suami sebelum pulang ke rumah," katanya.

Wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada jam 9 pagi tadi kerana bimbang keselamatan suaminya.

Dalam pada itu, sepasukan empat anggota diketuai Asisten Superintendan Kamarul Mohamed Salleh melakukan siasatan di kawasan berkenaan bermula jam 3 petang sebelum mengesan bau busuk.

Pencarian dilakukan berdasarkan bau berkenaan yang membawa kepada penemuan sehelai tuala yang ditinggalkan mangsa dipercayai dijadikan penanda.

Mayat lelaki berseluar jeans hitam ditemui tidak jauh daripada tuala terbabit, tergantung pada dahan pokok.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, enam anggotanya ke lokasi untuk bantuan membawa turun mayat.

"Mayat berjaya dibawa turun pada jam 6.25 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Previous Post Next Post

Contact Form