Pak Pandir meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Penyanyi era 90-an yang popular dengan lagu Yang Remeh Temeh, Pak Pandir telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kajang sekitar pukul 4.30 pagi tadi.

Pak Pandir atau nama sebenarnya Azmi Ali,62, sebelum ini dimasukkan ke wad kecemasan kerana masalah tekanan darah rendah, buah pinggang dan paru-paru berair pada Selasa lalu.

Malah semalam, Pak Pandir turut sempat memuat naik status memberitahu keadaan dirinya yang dimasukkan ke hospital tersebut bagi memudahkan sesiapa yang ingin menziarahinya.

“Kepada semua peminat, kawan-kawan, keluarga dan sesiapa yang mengenali saya dan tertanya-tanya benarkah saya dimasukkan ke wad sekali lagi?

“ Ya...betul..sebab masalah tekanan darah rendah, buah pinggang, kandungan air di paru-paru. Keadaan saya tidak stabil. Saya sekarang berada di Hospital Kajang, katil nombor 24,wad 2, tingkat 1. Doakan yang terbaik untuk saya,” tulisnya pagi semalam.

Pak Pandir yang bergerak aktif sebagai pemuzik jalanan di ibu kota meninggalkan isteri, Rosmi Salmiah dan tujuh orang anak serta tiga cucu.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Annur Kantan Permai, Kajang pada pukul 9.30 pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan.

Majlis tahlil akan diadakan selepas solat isyak di kediaman Allahyarham di Kajang. - UTUSAN ONLINE
Previous Post Next Post

Contact Form