"Ayah ucapkan selamat berpisah... dan selamat tinggal wahai anakku di sisi Allah SWT."
Itu antara ungkapan pilu Mohd Zin Daraman, 70, ketika membaca talkin pada pengebumian anak ketiganya, Surizaini, 41, yang meninggal dunia pada 4 Mac lalu kerana komplikasi buah pinggang.
Suara hiba dan sebak Mohd Zin yang juga imam Masjid Kuala Pertang, di sini, dilihat melalui perkongsian video dimuat naik anak bongsunya, Nurhidayah, 30, di TikTok yang turut mendapat perhatian netizen di aplikasi media sosial itu.
Mohd Zin berkata, membaca talkin bukan asing baginya kerana itu adalah antara tugasnya ketika berlaku kematian di kampung mereka.
Menurutnya, malah sebelum ini juga dia pernah berbuat demikian ketika anak lelakinya meninggal dunia pada 2008 kerana kemalangan jalan raya.
"Saya mudah tersentuh hati, biarpun membaca talkin untuk jenazah lain perasaan sebak tetap ada, inikan pula membaca talkin untuk anak sendiri sudah pasti rasa itu tidak dapat ditahan.
"Alhamdulillah, semua urusan anak pulang ke 'sana' berjalan lancar dan kami semua berpeluang menguruskannya seperti memandikannya dan saya juga mengimamkan solat jenazahnya," katanya.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, Surizaini antara anaknya yang selalu mengutamakannya dan isteri, selain seorang anak yang menyenangkan, suka bersedekah serta menjaga ibadahnya.
"Pemergian kedua-dua anak memang menyedihkan dan mereka pergi di saat usia masih muda.
"Peluang menguruskan jenazah anak adalah rezeki untuk saya bagi melakukan tanggungjawab terakhir sebagai bapa arwah," kata yang tinggal di Kampung Mial, di sini dan menjadi imam sejak 2002.
Sementara itu, Nurhidayah berkata, dia mempunyai hubungan rapat dengan kakaknya yang berkerja sebagai guru dan turut mengakui baharu mempunyai kekuatan untuk berkongsi video itu di TikTok pada pada 6 Mei lalu sebagai kenangan keluarganya.
Menurutnya, kakaknya meninggal dunia kerana tekanan darah tinggi menyebabkan pendarahan pada otak dan baharu dua kali menjalani rawatan dialisis sebagai pesakit buah pinggang.
"Kakak tak sedarkan diri selama tujuh hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
"Kakak juga ada penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) sejak beberapa tahun lalu sebelum disahkan menghidap penyakit buah pinggang.
"Ayah ajar kami cara menguruskan jenazah kakak dan ketika itu kami semua berasa sangat sedih, malah ayah juga menitiskan air mata," katanya memberitahu kakaknya sudah berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.
Katanya, ketika mula membaca talkin suara bapa sudah bergetar dan dia juga berhenti beberapa kali serta menangis ketika menyebut 'selamat tinggal anakku' yang meruntun hati mereka sekeluarga.