Rumah Bersepah Disangka Kena Rompak Rupanya Anak Dara...

Kotor, busuk dan meloyakan. Begitu keadaan sebuah rumah teres dua tingkat di Semenyih, Selangor apabila dibiarkan bersepah bagaikan 'tongkang pecah' oleh empat penuntut wanita sejak seminggu lalu.

Rumah berkenaan yang dikelolakan sebuah syarikat swasta sebagai hostel bagi menyediakan kediaman secara percuma kepada penuntut universiti swasta yang sedang menjalani latihan amali.

Wanita mahu dikenali sebagai Azimah, 26, berkata keadaan itu hanya disedari pada Jumaat lalu ketika kemasukan penghuni baru ke hostel berkenaan.

Menurutnya, dia amat terkejut apabila mendapati barangan dalam rumah, dan pakaian dibiarkan bersepah dan tunggang-langgang.

"Sejak beberapa bulan lalu, hostel terbabit didiami empat penuntut wanita, dan saya sangka hostel kena rompak, tetapi rupanya rumah memang dibiarkan berselerak.

“Malah sebaik melangkah masuk, kami 'dihidangkan' dengan bau busuk amat meloyakan.

"Apabila diperiksa, rupanya bungkusan makanan lama sudah basi di atas meja, selain air kencing dan najis kucing pula bersepah di atas lantai," katanya.

Menurut Azimah, dia tidak menyangka keadaan kediaman terbabit begitu teruk kerana penghuninya bakal menggengam segulung ijazah.

“Lebih mengecewakan, mereka adalah perempuan, dan sepatutnya bersyukur kerana syarikat bukan hanya memberi elaun latihan amali, malah turut menyediakan kediaman percuma.

"Sikap sambil lewa penuntut terbabit sedikit-sebanyak mencalarkan imej dan nama universiti swasta mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sehingga kini masih tiada tindakan dikeluarkan oleh syarikatnya, namun dia mengharapkan amanah serta kemudahan kepada penuntut itu digunakan dengan sebaik mungkin.
Previous Post Next Post

Contact Form