'Saya lihat ayah terkapai-kapai minta tolong'

HULU TERENGGANU - "Hanya beberapa minit setelah ayah serta enam anak saya menaiki bot gentian kaca untuk ke Air Terjun Lasir, saya nampak bot mereka telah terbalik dan lihat ayah terkapai-kapai," cerita Datin Syareena Ali, 36.

Syareena yang juga bekas Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Johor berkata, sebelum tragedi kira-kira jam 10 pagi tadi yang meragut nyawa ayahnya, Ali Ahmad, 68, dia sedang mencuci pinggan di atas rumah bot.

"Kejadian berlaku hanya beberapa meter daripada rumah bot yang kami sewa untuk percutian ini. Mulanya saya tertanya sendiri kenapa anak-anak saya berenang tengah tasik dan beberapa ketika selepas itu baru terlihat bot dinaiki mereka terbalik.

"Saya terus menjerit lalu keluar daripada ruangan dapur rumah bot untuk lihat dengan lebih jelas dan kerana terlalu panik saya terlupa keenam-enam anak saya pakai jaket keselamatan. Mereka juga boleh berenang.

"Saya jerit pada mereka "anak-anak mama semua boleh berenang...boleh menyelam...jangan menjerit". Saya bagi arahan pada mereka semua dan syukur semuanya sampai di kawasan yang cetek.

"Kejadian berlaku sekelip mata, ketika itu juga saya lihat ayah terkapai-kapai sambil minta tolong. Suami, Datuk Irwadi Ibrahim sempat selamatkan ayah dan bawa ke darat tetapi ALLAH SWT lebih sayangkannya," katanya.


Menurut Syareena, kesemua 15 ahli keluarganya tiba di kawasan pelancongan Tasik Kenyir itu semalam dan berdasarkan perancangan akan pulang hari ini, namun dikejutkan dengan tragedi tidak disangka itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku di Sungai Lasir, Tasik Kenyir itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.
Previous Post Next Post

Contact Form